Learning Arena And Multimedia > Writer's Corner

Tema komik

<< < (2/3) > >>

ngox:
[h3]Dunia Paralel[/h3]

Dunia paralel bolehlah diistilahkan sebagai dunia selari dengan dunia nyata kita dengan beberapa perbezaan. Jumlah perbezaan ini bergantung kepada keperluan seseorang penulis untuk meneroka dan mengembangkan jalan cerita mereka. Perbezaan ini boleh jadi berkait dengan persoalan politik dan sosial, jarak masa, sejarah. masa depan, dimensi tersembunyi, mitos serta pelbagai lagi.

Secara asasnya, sebanyak manapun perbezaan yang diterapkan, dunia paralel masih lagi mempunyai unsur yang berkait dengan dunia nyata. Jika tidak, karya tersebut sukar sekali untuk diterima akal. Maksud berkait ini adalah unsur unsur persekitaran, watak, bahasa, tumbuhan, haiwan, kepercayaan ataupun apa-apa yang mengisi karya tersebut. Paling tidak sekali pun, bahasa penghantar antara cerita dengan pembaca masih lagi dalam bahasa yang mampu difahami (walaupun hanya oleh segelintir daripada kita).

Sekiranya tidak terdapat langsung kaitan antara dunia yang dicipta itu dengan dunia kita, maka kita sebagai pembaca dianggap sebagai "outcast". Ini kerana karya tersebut menolak sama sakali hak dan kewujudan kita untuk membaca karya komik tersebut. Karya tersebut tidak lagi layak dipanggil komik tetapi bolehlah dikira sebagai hasil grafik atau senihalus.

Kebanyakan dunia paralel biasanya berasal dari dunia nyata yang kemudiannya terseret sedikit demi sedikit masuk ke arah paralel. Watak-watak yang unik serta istimewa masih boleh dianggap logik dan "ok" sehinggalah jalan cerita berkembang untuk menonjolkan mereka menjadi jauh lebih unik daripada biasa. Sedikit demi sedikit realitinya semakin berubah menjadi paralel.

Contohnya Spiderman dan Superman. Watak superhero yang memiliki kuasa istimewa dan bekerja di syarikat akhbar. Mereka sering berdepan dengan masalah-masalah insan biasa, persoalan gadis idaman, masalah-masalah pejabat, penjahat-penjahat yang bermaharajalela, polis yg tak berapa terer serta banyak lagi.

Kita secara jelas menerima logiknya insan istimewa yang unik ini. Tetapi penjahat-penjahat jalanan tidak cukup untuk menggambarkan kehebatan dan potensi sebenar hero ini, maka diwujudkan watak penjahat baru yang lebih berkuasa, makhluk ganjil, raksasa serta generasi baru manusia yang luarbiasa uniknya.

Perlahan lahan cerita dan watak ini hilang logiknya. Kewujudan watak watak baru menyebabkan dunia semakin berubah, tidak layak lagi dipanggil dunia realiti.

Kita bolehlah membahagikan dunia paralel kepada beberapa kategori sampingan seperti berikut;

1. Dunia Superpower (kuasa luarbiasa)
2. Dunia Futuristik
3. Dunia Fantasi
4. Dunia Mitos


Seringkali juga kita dapati karya-karya yang menggabungkan lebih dari satu tema diatas. Melainkan dunia fantasi, dunia dunia lain biasanya berasaskan dunia nyata dan biasanya jugak mereka berkongsi unsur-unsur sains fiksyen dan juga seram.

DUNIA SUPERPOWER

Dunia superpower merupakan dunia paralel yang paling kerap digunakan oleh pengkarya komik. Dengan menciptakan sebuah daerah istimewa, mereka dengan bebasnya dapat mencipta watak-watak yang mereka ingini. Contoh terkuat adalah karya Superman dan Batman. Mereka diujudkan kotaraya khas untuk mereka. Superman dengan Metropolis dan Batman dengan Gotham City.

Di kota yang khas inilah mereka berperang dengan kuasa-kuasa jahat, menjaga ketenteraman awam di samping berusaha keras untuk menyembunyikan identiti mereka. Gabungan beberapa watak dari keluaran DC Comics dalam satu dunia dengan jelas mewujudkan DC Universe sepertimana yang kita kenali sekarang ini.

Tak kurang juga dengan Marvel Comics yang mewujudkan Marvel Universe mereka sendiri yang dihuni oleh watak-watrak ciptaan syarikat mereka. X-men, FF, Thor, Spiderman serta ramai lagi, tinggal di satu dunia yang sama. Walaupun secara asasnya watak-watak ini berada di Amerika, ia merupakan Amerika yang berbeza, terpisah dari realiti dan wujud sebagai sebuah dunia paralel.

Tetapi konsep SuperPower tidak semestinya hanya bergantung kepada watak yang mempunyai kuasa ajaib semulajadi. Sihir, magic atau sumpahan juga digunakan dengan meluas untuk menjadikan watak tersebut sebagai unik dan istimewa. Kebanyakan syarikat komik juga menerapkan formula yang sama (walaupun dengan perbezaan). Bolehlah dikatakan tema dunia SuperPower memang paling meluas digunakan dalam industri komik. Tak kurang juga manga Jepun, kuat dengan konsep SeperPower.

Tetapi, aku agak keliru dengan stail komik Hong-Kong yang memaparkan tema kuasa istimewa berdasarkan seni beladiri dan tenaga dalaman. Contoh paling jelas tentulah Raja Rimba dan Harimau Laut. Dalam kategori mana nak humban diaorang ni haa..? Mungkin kita di Asia memang sudah terbiasa dengan unsur sedemikian hingga merasakan ia bukan sesuatu yang TIDAK LOGIK. Hmmm.. kena kaji ni.

DUNIA FUTURISTIK

Dunia futuristik seringkali dikaitkan dengan konsep Fiksyen Sains (yang sememangnya berkait rapat). Walaupun Fiksyen Sains masih boleh diterima dalam dunia nyata, persoalan masa depan agak berbeza.

Masa depan BELUM WUJUD dan belum pasti keadaannya. Penulis/pelukis hanya mengambil inisiatif untuk meneka, membayangkan dan selebihnya mereka-reka masa depan. Kebanyakannya adalah berdasarkan fakta sains dan teknologi yang sedia ada. Penulis mengambilkira potensi sains dan teknologi semasa untuk menciptakan masa depan.

Konsep masa depan dengan menolak unsur 'tidak logik' sukar nak digarap. Masa depan yang bersifat subjektif menyebabkan kita mampu menciptakan apa saja situasi dengan alasan yang kecil. Contohnya seperti komik Steampunk, Alien, Eve Protomecha, Terminator, Akira, Appleseed dan lain lain. Cukup memberangsangkan, manga jepun dan komik barat memang banyak yang berkisar tentang tema futuristik.

Filem "Back To The Future' ada membincangkan tentang teori tangen masa untuk kefahaman kita.

Konsep masa depan yang meyakinkan agak sukar ditemui. Kebanyakan cerita berdasarkan masa depan wujud dalam bentuk novel. Neuromancer, Blade Runner, Space Oddesy (bukan komik) dan Matrix merupakan konsep futuristik yang jelas dan merupakan contoh kuat.

Matrix juga menerapkan banyak unsur reliti secara simbolik dan tersembunyi menyebabkan karya ini dipandang tinggi oleh pengkritik (watchout! mesej tersembunyi! kalau rajin, baca semuanya di sini).
    **nota: Penulis dan pengarah Matrix - adik beradik Wachowski, merupakan penulis komik juga.

Karya futuristik di Malaysia, yang aku suka ialah "AMUK - Asakan MonoUnit Konfederasi", oleh Ahmad Patria Abdullah. Kalau dapat buat komik mesti best!! Komik Mata 3 oleh Milx pun bagus jugak.

Tetapi bolehlah dikatakan apa saja yang berunsurkan sains dan teknologi masa depan, selamat dikira sebagai Dunia Futuristik (futurama anyone??).

DUNIA FANTASI

Dunia Fantasi diwujudkan biasanya untuk menggambarkan konsep yang agak 'berlawanan' dengan konsep dunia nyata. Kronologi (susunan peristiwa menurut masa) adalah satu aspek dunia nyata yang tidak begitu dipakai dalam Dunia Fantasi. Umumnya, Dunia Fantasi adalah bersifat suram, misteri lagi ajaib.

Masa, tahun atau tarikh biasanya tidak digambarkan secara jelas. Seringkali juga masa diistilahkan sebagai "age" atau zaman yang tertentu. Persekitaran rupabumi yang bersifat kontras, sumber bumi / pertanian yang tidak jelas serta tiada peta muktamad.

Contohnya, sebahagian daripada daerah mungkin terbentuk padang pasir tetapi bersebelahan dengan paya luas yang dihuni binatang ganjil. Pergunungan yang misteri, daerah kayangan dengan kuasa ajaib, lautan ganas serta macam macam lagi yang melangkaui batasan normal dunia nyata. Dunia Fantasi juga sering dikaitkan dengan konsep BRUTAL (walaupun tak semua).

Komik Conan The Barbarian, Battle Chaser, dan komik karya Moebius merupakan contoh yang kuat (ada banyak lagi.. tapi pembacaan aku kurang). Kalau kita di Malaysia ada komik Pahlawan Mimpi, UMA, dan ada beberapa komik karya Zafran Hassan(?) yang aku tak ingat tajuk dia. Kalau novel pulak, tentu la Lord Of The Rings yang terkenal tu. Kalau filem, The Willow, Star Wars (aku kategorikan Star Wars sebagai fantasi, sebabnya ? fikir sendiri..)

Kita juga boleh melihat gabungan teknologi dengan zaman yang tidak menentu sebagai unsur fantasi yang kuat. Contoh yang jelas adalah komik atau manga yang berdasarkan game "role playing". Dalam konsep ini, teknologi boleh wujud tanpa berdasarkan kronologi pencapaian manusia dalam sains. Jepun juga kerap mengambil konsep Dunia Fantasi seperti ini dalam menggarap anime mereka.

DUNIA MITOS

Dunia mitos biasanya terbentuk daripada cerita-cerita dongeng atau kepercayaan yang diwarisi turun temurun. Sifat-sifat mitos yang ketara ialah;

1. Berdasarkan kepada sejarah purba dan kepercayaan sesebuah kaum.
2. Ada tertulis sebagai sastera lama atau diperturunkan dari generasi ke generasi sebagai cerita lagenda.

Boleh dikatakan setiap kaum di dunia ini mempunyai cerita dan watak mitos mereka yang tersendiri. Kisah dewa dewa atau pengembaraan ajaib adalah isi cerita mitos yang lumrah. Contoh karya komik berdasarkan mitos yang kuat adalah SANDMAN.

Menceritakan watak Morpheus, dewa yang mentadbir alam mimpi dengan berdepan pelbagai masalah peribadi, krisis sesama dewa dan penghuni alam nyata yang lainnya. Komik kung-fu dari Hong Kong juga banyak memaparkan konsep sebegini. Komik Alam Perwira merupakan contoh yang jelas.

Kisah kisah "Seribu Satu Malam" dari Timur Tengah juga tergolong dalam kategori ini. Di Malaysia sendiri, cerita mitos yang sesuai diangkat menjadi komik cukup banyak antaranya; Hikayat Malim Deman, Puteri Gunung Ledang dan Puteri Santubong Puteri Sejinjang. Kisah Sang Hanuman Dewa Monyet juga telah diangkat menjadi komik di beberapa negara termasuk jiran kita Indonesia.

Kita di Malaysia aku tak berapa pasti.. tapi komik pendek Marga Buana oleh Kromosom adalah contoh komik yang berteraskan mitos. Well done Krom!!

KESIMPULAN

Kebanyakan karya komik dengan tema Dunia Paralel selalunya mempunyai lebih dari satu unsur diatas. Konsep SuperPower selalu digabungkan dengan konsep Futuristik dan tak kurang juga konsep Mitos dan Fantasi. Secara sedar atau tidak, dengan menggabungkan lebih dari satu konsep paralel, kita sebenarnya menjadikan karya kita lebih unik, lebih kreatif dan lebih pheaww!

Tetapi, walaupun dunia paralel adalah dunia khayalan, unsur tidak logik yang berlebih lebihan tanpa alasan yang jelas untuk pembaca hanya akan mengakibatkan karya tersebut tidak berasas. Walaupun dengan medium komik kita dapat memberikan gambaran yang cukup mengkagumkan, jalan cerita yang kuat masih lagi kunci utama dalam menambat hati pembaca.

go to the next...
DUNIA REALITI



                   

FF@fanvan:
wow,ya guys memang expert,pasal lukis2 ni memang minat aku sejak kecik lagi,thanks!maybe I can get some help from ya guys!
                   

roti_kering:
waaa...tq ngox atas penerangan yg pannnnjang lebar tu..memang membantu!


                   

ngox:
sigh... aku kesibukan sekarang nih.. nak siapkan artikel tu pun takde masa.. proposal skrip komik tu pun dah sangkut..

sibuknyeeee....!!!!
insya Allah aku akan sambung jugak..
                   

ruby:
Fuhleimaakkk...!!!best gile babas topik nih...!!! Boleh dijadikan bahan rujukan dan boleh digunakan dalam proses penulisan skrip komik nih...!!! Terima Kasih kepada TUAN-TUAN yang Bijaksana lagi Budiman kerano kasi tau..!! Sila Tunjuk Ajar..!!Arigatogozaimas...!!                    

Navigation

[0] Message Index

[#] Next page

[*] Previous page

Go to full version