Artikel Dari Tahun 2006
Hezbollah kini dikatakan sebagai 'pengacau' kepada 'hidup aman' pemimpin-pemimpin Arab terutamanya bermazhab Sunni.. sebagaimana turut dilagangkan oleh media Barat yang mahu pula melaga-lagakan sesama Islam.. Ramai dah umat Islam 'termakan' dengan dakyah sebegini...
Q1 :Apakah faktor yang meyebabkan pendekatan Hezbollah agak terpisah dengan gerakan Islamisme yang lain?
J1 : Pertama, kita kena tahulah yang anggota Hezbollah ini merupakan orang-orang Islam shiah. Dalam mazhab shiah ini, penghormatan mereka pada ulama begitu tinggi. Bila Hezbollah yang diasaskan oleh ulama, serta ulama pula menunjukkan contoh kepimpinan yang cemerlang, maka penghormatan ahli-ahli mereka menjadi begitu tinggi lagi. Di samping itu, gerakan Hezbollah juga lebih berorientasikan kepada gerakan kebajikan penduduk tertindas (mustadh’afhin) di Lebanon.
Kedua, Hezbollah sebagai gerakan politik. Bila mereka bergerak dalam bentuk kebajikan, maka masyarakat cepat melihat Hezbollah sebagai satu organisasi yang memperjuangkan kepentingan rakyat. Misalnya, pemimpin-pemimpin Hezbollah tidaklah tinggal di dalam istana, tetapi dia lebih mementingkan semua rakyat yang tertindas mempunyai rumah. Ertinya, wang yang mereka perolehi - katakanlah dari Iran atau sumber-sumber yang lain - di salurkan kepada terlebih dahulu kepada golongan mustadh’afin ini. Ini yang menyebabkan Hezbollah dilihat sebagai satu model sebuah gerakan reformis moden dalam bentuk memberi kebajikan. Ini kejayaannya, di samping ketaatan mereka kepada ulama.
Q2 : Namun ramai masih hairan berkenaan apa sebenarnya dalam struktur politik di Lebanon itu apa posisi Hezbollah sehingga begitu berpengaruh, sedangkan mereka bukannya satu gerakan politik yang berdaftar?
J2 :ezbollah paling berpengaruh bila mereka berkorban untuk menghalau Israel dari Selatan Lebanon. Bagi rakyat Lebanon, mereka melihat Hezbollah ini wataniyyah (nasionalis), manakala kumpulan Islam pula nampak mereka ini sanggup mati untuk melawan Yahudi. Jadi dua-dua kumpulan ini saling hormat sebab dia melawan Israel bukan untuk mendapat upah, tetapi atas semangat yang ditiupkan ulama-ulama mereka iaitu untuk mati syahid demi membebaskan Baitul Maqdis. Jadi, golongan sekular fikir Hezbollah adalah gerakan nasionalis kerana telah berjaya membebaskan Lebanon. Akhirnya semua pihak menghormati mereka. Dan satu faktor yang tidak boleh dinafikan ialah mereka mempunyai kepimpinan yang cukup baik dan berdisplin. Ini kejayaan mereka yang sangat besar.
Q3: Adakah kemungkinan Hezbollah dibiayai oleh Iran. Jadi bolehkah kita katakan bahawa Hezbollah ini merupakan agen (atau proksi) Iran di Lebanon?
J4 : Ya, Iran tidak pernah nafi dia beri bantuan. Pada Iran, Hezbollah merupakan pertubuhan yang dia yakini. Dan berkebetulan pula satu agama, satu mazhab dan satu marja’. Orang Hezbollah ini, marja’nya ialah Ayatolllah Ali Khamanei, sebelum itu Imam Khomeini. Perjuangan Hezbollah jelas ialah ke arah pembebasan Al-Quds dari Israel.
Q4 : Sebelum ini, Hezbollah telah berjaya menghalau keluar Israel di selatan Lebanon. Apakah juga hanya Hezbollah sahaja yang berpotensi mengembalikan Baitul Maqdis ke pangkuan ummat Islam?
J4 : Ya, pada masa akan datang, Hezbollah yang akan lead arus perjuangan menentang Israel di sana. Dan ucapan-ucapan Sayyed Hassan Nasrallah sedang menuju ke arah itu. Sebab itu, ketika ini apabila berlaku demostrasi antara kumpulan pro-kerajaan dengan kumpulan muarodhah, Hezbollah mempelawa Amerika datang untuk melucutkan senjata mereka, “Please datang ke Lebanon, nanti kami akan kirimkan mayat-mayat kamu dengan kapal yang kamu datang”. Ertinya, Amerika sendiri pun sudah biasa mengalami kekalahan di situ. Sebab itu mereka berfikir banyak kali sebelum mahu mendarat di Lebanon. Kalau itu pencapaian Hezbollah, adakah mereka tidak boleh mencabar Israel? Jadi saya nampak, Hezbollah yang akan lead gerakan melawan Israel disamping dukungan mantap gerakan-gerakan Islam yang lain seperti HAMAS, Jihad Islam dll.
Q5 : John L. Esposito dalam bukunya Unholy war: Terror in the name of Islam ada menyebut mengenai perlunya gerakan Islamisme yang lain belajar dengan Hezbollah. Dari kenyataan ini, apakah yang sebenarnya yang kita boleh belajar dari Hezbollah?
J5 : Kita memilih jalan demokrasi. Kita boleh belajar dari Hezbollah dari sudut gerakan massa. Macamana Sayyed Hassan Nasrallah; seorang ulama, dengan pakaian ulamanya yang tidak pernah tanggal, apabila dia seru terhadap sesuatu seperti soal kenaikan harga barang ataupun Syria undur, maka beratus ribu orang keluar menyokongnya. Kenapa dia boleh dapat perhatian orang ramai? Sedangkan amilin (hardcore Hezbollah) cuma sekitar 10,000 sahaja? Di sini kita kena belajar dengan Hezbollah, iaitu dalam soal gerakan massa.
Q6 : Baru-baru ini, Lebanon telah pun digegarkan dengan pengeboman yang menyebabkan kematian ke atas Rafiq Hariri, agaknya ini angkara siapa?
J7 : Mungkin ini kerja-kerja Amerika dan Israel. Sebab kalau Syria yang buat, satu kerja yang bodohlah sebab tindakan itu boleh merugikan diri dia sendiri. Kalau orang Syria yang buat, tidaklah pelik, sebab orang Melayu, orang Iran, orang Mesir dan orang negara mana pun boleh menjadi agen kepada Amerika. Tetapi sampai sekarang pun mereka tidak boleh siapkan laporan tersebut, meskipun Amerika hari pertama telahpun menuduh Syria. Kini mereka sendiri tidak boleh membuktikan siapa yang punya angkara. Kita nampak, kalau Syria yang buat, satu tindakan politik yang sangat-sangat bodohlah.
Q8 : Tetapi, perlukan Syria berundur dari Lebanon seperti desakan Amerika Syarikat?
J8 : Syria telah menghadapi tekanan antarabangsa. Dia boleh undurlah, tetapi kita anggap tidak perlu. Namun persoalan yang timbul dari undurnya itu (gap) siapa yang hendak isi? Ramai rakyat Lebanon yang menganggap Hezbollah yang kena isi. Kalau ini berlaku, “mereka merancang, dan Allah juga merancang, tetapi perancangan Allahlah yang sebaik-baiknya”. Dan memang permintaan untuk Hezbollah isi sangat kuat sebab Hezbollah dianggap sebagai gerakan nasionalis yang telah membaktikan perjuangannya demi pembebasan Lebanon.
Q9 : Tetapi adakah tindakan Syria menduduki Lebanon sebelum ini satu tindakan yang betul?
J9 : Dia perlu berada di Lebanon. Sebab dulunya kalau Syria tidak masuk, kumpulan Kristian secara terang-terangan telah memihak kepada Israel. Sampai sekarang pun beberapa jeneral Lebanon masih tidak pulang selepas lari ke Perancis dan negara-negara lain. Mereka yang mengurus kem Qiyam Prison kebanyakannya merupakan orang Kristian Lebanon yang telah berkerjasama dengan Israel. Jadi, Syria kena masuk untuk membantu Lebanon serta mengimbagi pengaruh Israel pada waktu itu.
Q10 : Omar Karami yang pro-Syria telah pun terpaksa meletak jawatan kerana gagal membentuk kabinet baru Lebanon. Adakah perkembangan ini meruncingkan lagi konflik dalaman Lebanon?
J10 : Lebanon akan tetap runcing sampai beberapa ketika, kerana di sana mereka yang memainkan peranan terlalu banyak. Di sana ada peranan Iran, Syria, Amerika, Israel, Perancis yang masing-masing mahu menjadikan Lebanon di bawah pengaruh mereka. Soalnya, rakyat Lebanon yang kena menentukan nasibnya sendiri. Tetapi sayang sekali, gerakan Islam di pihak kita (baca: sunni) sangat-sangat lemah. Ini yang mengecewakan saya. Saya bertemu dengan Faisal Maulawi, Ketua Ikhwanul Muslimin di Lebanon, saya tengok mereka ini tidak dapat meraih sokongan massa. Massa tidak bersama mereka! Kenapa? Inilah persoalannya. Sedangkan mereka menulis buku macam-macam untuk orang lain baca, tetapi mereka sendiri tidak mendapat massa.
Jadi, kalaulah gerakan Islam sunni dapat menguasai separuh sahaja penganutnya, bolehlah mereka bersama-sama dengan Hezbollah menentukan corak politik Lebanon yang akhirnya menguntungkan Islam. Memang, selepas perang saudara yang panjang, kedudukan Islam lebih baik berbanding sebelum itu. Saya kira kalau kita mendapat kekuatan politik ini, tidak mustahil orang Islam dapat pegang semula politik Lebanon termasuklah jawatan presidennya sekali. Apatah lagi orang Islam di sana sudah mencapai 60%, manakala orang Kristian ramai yang lari ke luar negara terutamanya sewaktu perang saudara dulu.
Q11 : Mungkinkah berulang kembali perang saudara di sana?
J11 : Nampak setakat sekarang, semuanya akan mengelak, termasuklah puak Kristian dan sebagainya. Ini kerana mereka semua tidak berani untuk cabar Hezbollah dalam bidang ketenteraan. Tentera-tentera Lebanon apabila melihat anggota Hezbollah mereka akan memberi tabik hormat. Walaubagaimanapun di sana, mereka bolehlah hentam dan kritik Hezbollah, tetapi mereka tidak berani untuk cabar keupayaan Hezbollah. Hezbollah macam jadi tenaga pengimbanglah antara kerajaan dengan rakyat.