Home › Forums › Writer’s Corner › Cerpen 1: Setelah Sayembara
Tuah masih termenung dijenang jendela yang terbuka .Sorak sorai rakyat yang telah reda dari jeritan ‘hidup Hang Tuah’, seperti tidak langsung memberi erti padanya . Sesuatu yang nihil . Bibirnya menggumam, laksana menahan sesuatu yang bakal terlontar dari mulutnya . Tanda-tanda kewalahan masih terpalit diwajahnya yang mulai mencoretkan detik-detik diri didaerah maghrib .Tuah melepaskan keluhan yang panjang, barangkali mengenangkan sayembara yang lalu bersama Jebat .Sesekali Tuah menggelengkan kepala , barangkali menafikan tindakkannya yang telah muktamad hukumnya .
“Katipang !!” .Tiba-tiba, Tuah siaga di hujung tangga .Dari nada suaranya, daku amat yakin ada tugas yang memerlukan daku agar ikut bersama .
“Datuk”.Daku merafak jari .Pendewaan sesama makhluk adalah perkara yang sangat-sangat kubenci, tapi apalah dayaku selaku seorang yang dipergunjing .Lama Tuah berdiri dihadapanku, matanya bergerak-gerak kekiri dan kekanan, barangkali cuba merasakan arah datangnya firasat .Tuah kemudiannya memulakan langkah dengan kaki kiri, sesuatu yang lazim berlaku jika hari itu dirasakannya bakal mengundang perkelahian atau barangkali sahaja gerak yang bakal melibatkan pertumpahan darah , atau mungkin sahaja Tuah ditimpa bencana .Pengalaman tiga puluh tahun bersama lelaki ini, membuatkan aku hampir masak dengan tingkah lakunya.
“Kau ke denai, awasi langkah, awasi gerak ,jumpa di hujung pasar, tempat Jebat di ikat” .Perintahnya, padat dan ringkas. Sesuatu yang mudah bagiku, namun untuk memahami maksud Tuah kali ini, fikiranku mendadak keliru. Mengapakah Tuah setega ini ? .Tidak gementarkah Tuah dengan tindakkan Sultan ?. Kendati soalan-soalan begitu melingkari fikiranku namun tidak sekali-kali kubiarkan ia dari menghalangiku dari menjalankan tugas.
Tugasku….,ah rumit sekali kalau untuk kuperjelaskan.
Bentara Tun Perak mengambilku dari mata dunia hanya sebagai seorang budak suruhan. Kerjaku mudah, apa sahaja kehendak Tun Perak akanku penuhi. Biarpun daku diperintah untuk membunuh teman akrabku sendiri. Dan daku akan melakukannya tanpa banyak soal. Namun dalam banyak perkara yang diserahkan padaku, disebaliknya teruntuk satu persoalan untukku fikirkan sedalam-dalamnya. Pernah Tun Perak menyuruh daku mengekori Tuah ke Pahang , firasatnya Tuah bakal lemah menghadapi gemalai Teja. Dan firasat Tun Perak ternyata tepat, mujur Teja sempat kujampi pengasih sebelum Tuah melarikannya. Gagal mendesak Teja, Tuah memberi sirih pembenci, guna untuk menutup mulut Teja diatas kelemahannya. Dan dakulah si pendayung sampan yang menilai kelemahan Tuah itu.Tuah takkan mungkin menyedari bahawa dakulah yang selama ini membayangi tugas-tugas khasnya, kerana dalam banyak perkara Tuah kabur pada nafsunya sendiri. Yang benar-benar memahami Tuah adalah Tun Perak. Daku adalah mata dan telinga Tun Perak yang memahami si Tuah itu .Sekali peristiwa, pernah Tuah ingin melarikan Melati, anak guru silatnya dari istana .Tun Perak arif sekali akan keadaan itu, namun bila menyedari bahawa Betara Majapahit telah siap siaga untuk mengenakan Tuah ,Tun Perak dengan bijaknya bermain serampang dua mata, fikirannya jauh menilai kehadapan segala asbab dan akibat. Tuah kembali terhukum biarpun niatnya untuk melarikan Melati telah dibuangkannya jauh-jauh .Dan dakulah Si Petanda yang bakal memancung Tuah dan kenamaannya. Jebat yang terkejar-kejar sebelum nyawa Tuah kulunasi, merayu-rayu padaku dan Tun Perak agar melepaskan Tuah. Namun hatiku telah kering dengan pujukkan dan tangisan manusia, seperti mana keringnya tangisan Teja saat menyedari dirinya dipergunakan Tuah . Pulanglah Jebat akhirnya membawa hatinya yang luka di calar kesetiaan Tuah yang agung kepada Sultan .
Begitu agungkah kesetiaan Tuah ?
Keberaniaan dan kelelakian Tuah terlerai saat aku hampir menghayun parang. kelehernya Menghadapi maut adalah soal yang besar, Tuah tidak terkecuali, lebih-lebih lagi bila maut yang tidak diundang kini telah berada dihadapan mata. Giliran Tuah menangis dan merayu dilepaskan .Hanya beberapa ketika sebelum kami tiba di daerah penghukuman yang keramat. Seketul Batu Besar yang di gelar orang Batu Penghirup Darah, menjadi saksi pada air mata Tuah yang berderai bersama keberaniannya.
“Datuk….,daku mohon pertimbangan dan akal budimu datuk…..”.Demikianlah mintanya Tuah pada Tun Perak dengan tangisan yang bergema perlahan. Tun Perak tersenyum tenang.
“Tuah…bertenanglah, saatnya untuk kau dijemput ajal masih belum tiba lagi”. Dan serentak itu juga, Tun Perak mengarahkan daku agar membukakan ikatan yang melilit pergelangan tangan Tuah. Beberapa ketika kemudian, Tun Perak menepuk-nepuk bahu Tuah dan kemudiannya mereka berdua bergerak ke suatu tempat yang tersorok dan Tun Perak kelihatan sedang membicarakan sesuatu kepada Tuah .Tuah mengangguk-angguk dengan wajah yang mengerti. Bicara itu nyatalah sesuatu yang tidak harus diketahui sesiapa melainkan keduanya. Sungguh tidak kufahami maksud dan tujuan Tun Perak, kendati ku perah akal ku untuk memikirkan asbab dan tindakkannya. Biarpun Tuah harus ku pancung dan hatinya harus ku lapah untuk di lihat Sultan, namun nyatalah ajal Tuah masih belum tiba di penghujung. Percaturan Tun Perak ternyata lebih dalam dari soal seorang dayang yang kecewa. Fikirannya pastilah sangat dalam dan rumit untuk kufahami ertinya. Malah hanya masa yang kulihat mampu mengerakkan jawapan yang ditunggu oleh Tun Perak. Dan satu-satunya yang boleh ku duga dari peristiwa itu adalah, keinginan Tun Perak yang berhasrat untuk menguji dan melihat dunia Melayu yang masih belum berubah hala dan tujunya.
Maksud Tun Perak dalam pemerhatianku, haruslah sebesar ini. Dan dugaanku ternyata tidak tersasar jauh dan barang yang ingin diuji Tun Perak itu nyatalah bukan ‘barang’ yang kepalang. Bukan calangan si pengujinya, bukan sedikit hantarannya, bukan jua kecil maksudnya. Tun Perak nyatalah ingin menguji akal dan hati budi orang-orang Melayu, pengujinya, siapa lagi kalau bukan Tuah dan Jebat . Hantarannya, siapa lagi kalau bukan orang-orang Melayu sendiri. Dan maksudnya, untuk melihat ukuran tentang kesetiaan, ketaatan dan kebijaksanaan Melayu bila timbulnya masa sukar yang menguji.
Percaturan Tun Perak memang teliti namun rumit difahami. Namun kerana daku dibesarkan dibawah ajaran Tun Perak, menghadam maksud dan tujuan Tun Perak tidaklah sesukar yang dijangka. Setelah ‘menghukum’ Tuah, Tun Perak menilai masyarakat disekitar Melaka. Daku di arah Tun Perak agar memasang mata dan telinga tentang kematian dan penderhakaan Tuah .Ada yang bersedih, ada yang terkilan, namun yang sangat pasti pemergian Tuah adalah sesuatu yang dipandang oleh seluruh Melaka sebagai ‘keterlaluan’, malah ada pula bicara yang mengatakan yang dijunjung tidak lagi harus di julang. Anehnya, bila pengawal istana atau juak-juak keluar menjamu selera di gerai kampung, bicara yang mengeji tadi bertukar menjadi memuji, yang dikatakan zalim, tiba-tiba menjadi adil yang saksama. .
Melaka nyatalah masih belum berani meneguhkan kebenaran.
Daku akur pada sikap mereka yang pengecut itu, lebih-lebih lagi kerana daku adalah seorang perlaksana. Namun sesuatu yang kulihat sebagai satu-satunya tukaran pada sikap pengecut itu, adalah keberanian Jebat yang terang-terangan menentang Sultan. Ku lihat jiwanya masih teguh pada memandang kebenaran. Sekonyong-konyong setelah Jebat memegang kekebalan Tamingsari, keberaniannya melimpah menjadi penolakkan. Kulihat Tun Perak mulai tersenyum yang misteri, bertambah lebar senyumnya bila Jebat mulai menjamu rakyat dengan wang perbendaharaan Sultan, malah menyedekahkan harta yang agak banyak pada fakir miskin dan orang-orang awam yang selama ini diperah hasil usahanya dengan jalan yang kukira tidak sah pada syarak. Cukai yang keterlaluan. Sultan yang selama ini kulihat siaga dengan para hulubalangnya, nyatalah lemah di hadapan Jebat yang menyeringai menunjukkan taring .Murka Sultan tidak lagi dipandangnya, malah di lagu-lagu, di pantun-pantunkannya segala murka dan titah baginda Sultan bersama dayang dayang yang selama ini perit di kasari Tuanku Permaisuri.
Hatiku yang kering dan tega hanya tertawa melihat kebejatan Jebat . Kalau daku dibenarkan membuat satu permintaan, pastilah penobatan Jebat selaku yang pertama didalam sejarah kekuranghajaran Melayu ,yang akan ku perbuat .
Sayangnya, kenyataan hidup tidak berpihak kepada Jebat.
Hari dimana Tuah datang untuk membuang aib dimuka Sultan, nyatalah hari yang mengejutkan daku dan Tun Perak .Setelah apa yang diperbuat dan dirancang teliti oleh Tun Perak tidak bergerak sejalan dengan dugaannya . Pertamanya, Tun Perak menjangkakan yang Tuah akan sekali menyertai Jebat – tidak terjadi . Keduanya, Tun Perak menjangkakan yang rakyat akan menyokong Jebat – jua tidak terjadi .Dan ketiganya, Tun Perak menjangkakan Sultan akan di amok oleh Rakyat yang kecewa dan geram, – jua tidak terjadi . Yang terjadi malah sebaliknya, Tun Perak hanya sempat memangku Jebat yang tenat dibuai belangsungkawa, sedang dimasa yang sama dimulutnya terlontar persoalan yang berbaur penyesalan,
“Tergamak kau, Tuah…. ?”
“Daku tak ingin Melayu hilang di dunia, Datuk…”. Jawapan ringkas Tuah yang membuatkan Tun Perak ternganga yang takjub . Fikiran Tuah, rupanya nun jauh dihadapan mengatasi Tun Perak . Jawapan yang turut juga merubah pendirianku selama ini .
Hari ini, di hadapan ‘bangkai’ Jebat yang terikat naif dihujung pasar, daku menanti ‘kehadiran’ Tuah .Setelah Tuah tiba di tempatnya, dengan pantas Tuah memberi isyarat agar meleraikan ikatan Jebat lantas beredar pergi. Pantas, kubuka ikatan Jebat dan bersegera melarikannya dari daerah yang mengaibkan itu. Setibanya di teratak Tuah, Jebat segera dimandikan Tuah dengan penuh kasih, dikafankan dengan penuh kesedihan dan disembahyangkan dengan penuh tertib dan taubat . Kendati Tuah tak sanggup melihat Melayu menderhaka, namun jauh disudut hatinya, dia membenarkan tujuan Jebat yang murni itu.
“Matlamat, tidak harus menghalalkan cara, adikku..Jebat”. Demikianlah kata-kata terakhir Tuah dengan mata yang merah bersedih duka. Detik itu, mengertilah daku, akan maksud bicara Tuah sebelum ini. Dikucupnya dahi Jebat yang telah pun terbungkus rapi dibawah kafan. Selesai menguruskan jenazah , kulihat Tuah termenung dihujung kuburan Jebat. Muroqabah, barangkali .Memikir dan mengingatkan kelangsungan tindakkannya yang kukira akan terlipat kemas didalam sejarah sebagai suatu petanda bahawa ketuanan dan kewujudan Melayu pernah diuji .Suatu saat, bila kealpaan terisi didalam diri dan ukhuwah Melayu ibarat retak menanti belah, seorang Jebat akan bangkit kembali demi mengingatkan mereka yang terlupa itu .
Pasti ! .
pergh….sejenak aku dibawa ke sana..di sisi Tuah memerhatikan merahnya tanah yang telah menyemadikan Jebat….
Pergh! | Lukis, Komik, Kartun, Animasi, Games Malaysia
All information and content contained in this website are provided solely for general information and reference purposes.
By browsing this web you agree to our privacy policy.
© 2001 - 2021 All Right Reserved by Vasqtech Network Malaysia