malam ni [sini masih malam, malaysia dah subuh], aku join pergh ni. ada writer corner. jadi aku pastekan esei yg pernah aku tulis.
SEKURANG-KURANGNYA tiga artikel menyentuh isu sastera dan siber tersiar dalam ruangan Sastera dan Budaya Berita Harian. Salemah Sudin dengan Sastera Siber Perlu Berjiwa, Fudzail dengan Antara Sastera Siber Dengan Sastera Dalam Siber, dan Lee Keok Chih dengan Menanti Fajar Sastera Siber. Tidak silap saya Fudzail pernah juga menyebut hal yang sama sebelum ini dalam surat pembaca Dewan Sastera dan Utusan Malaysia. Malah, tidak mustahil, di luar pengetahuan saya, hal ini turut disorot penulis-penulis lain atau pun sekurang-kurangnya diwarungkopikan melalui bicara-bicara kosong sesama penulis.
Ia menjurus kepada satu penerimaan, betapa sastera Malaysia terlalu asing dalam dunia siber yang sudah menjadi fenomena mengkagumkan dunia hari ini. Untuk dibandingkan dengan negara jiran, Indonesia, saya kira sastera Malaysia masih lagi terkebelakang dalam mengoptimumkan eksploitasi wadah yang paling mudah dan paling murah ini. Pengalaman saya mencari cerpen dengan menggunakan enjin pencarian lebih banyak menemukan cerpen-cerpen dari Indonesia dari karya tanah air.
Mudah kerana sesiapa pun boleh akses sebarang maklumat atau menghantar sebarang idea melalui dunia siber, manakala murah kerana ia hanya melibatkan kos yang minimum untuk meneroka alam tanpa sempadan ini. Masalahnya, mengapa pula penggiat sastera tidak memanfaatkan kemudahan dan kemurahan ini?
Saya kira tidak ramai di kalangan khalayak penulis yang berjaya menggunakan wadah ini. Selain Fudzail dengan e-group, Faisal Tehrani dan Uthaya Sankar dengan hompej atau pun Saharil dengan jurnal online, saya tidak melihat penulis mapan mengeksploitasi wadah siber ini dengan optima. Ada lagi penulis yang memiliki hompej sendiri tetapi terbiar tanpa up-date.
Isu ini bukan hanya berlaku sekitar masyarakat sastera tanah air, malah turut disentuh penggiat sastera di Mesir, apabila ada yang mengeluh betapa tiadanya hompej yang dibina untuk memperingati Naguib Mahfouz, pemenang Anugerah Nobel Kesusasteraan. Justeru, tidak hairanlah kalau hompej Sasterawan Negara pun tiada. Seperti kata-kata Pak Pandir, "Bukan Mak Andih sahaja yang kematian anaknya."
Saya tidak berminat membincangkan sama ada sastera siber atau pun sastera dalam siber. Ia sudah jauh dari lingkungan kefahaman saya. Saya hanya mahu meninjau sejauh mana penulis dan sasterawan memanfaatkan dunia siber untuk memantapkan dunia sastera.
Mungkin kita boleh memaafkan sasterawan dan penulis pada peringkat umur melebih 50 tahun. Mereka tentu ada masalah tersendiri berdepan dengan dunia siber ini, tetapi tentulah kurang manis melabelkan mereka sebagai kegagapan.
Ada yang serik menggunakan komputer, barangkali terlupa menyimpan data cerpennya, atau ada yang lebih gemar menggunakan pos daripada e-mel, tentulah tidak wajar diistilahkan sebagai gagap. Belum lagi berdepan dengan musuh utama komputer, virus! Ia adalah kelemahan, dan ia tidak semestinya ditampung sasterawan atau penulis itu sendiri.
Ambil contoh mudah, Faisal Tehrani meski pun memiliki hompej sendiri, tetapi ia dibina orang lain. Bukankah itu menunjukkan Faisal bijak menampung kelemahan [kalaulah itu menjadi kelemahannya] dengan meminta bantuan pakar. Begitu juga hompej yang dibina sebagai dedikasi terhadap sasterawan besar dunia atau pun pemenang Nobel. Sudah tentu laman-laman ini dibina penyanjung kepada karya dan sumbangan sasterawan tersebut, bukan individu itu sendiri.
Justeru, hubungan timbal-balik antara sasterawan dan graphic designer inilah yang dapat mengoptimakan kegiatan sastera dalam dunia siber ini.
Dalam masa yang sama jangan lupa, di sebalik kekontangan gergasi besar sastera dalam dunia siber seperti DBP, Gapena dan Pena, ada individu atau komuniti kecil berbekalkan kepada minat dan kemahiran cuba merancakkan dunia sastera.
Ambil contoh Melayu.com yang menyediakan ruangan cerpen dan sajak, sehingga penulis siber lain mampu menghantar karya mereka. Malah, cerpen dan sajak tersebut akan dinilai pula. Meski pun penilaian tersebut tentulah tidak dapat menyaingi kritikan sastera berlandaskan teori yang membebankan itu, tetapi ia dapat ditanggap dengan baik pula oleh penulis berkenaan.
Pinggirkan terlebih dahulu kelemahan penulis siber sama ada dari sudut bahasa dan sebagainya, sebaliknya rendahkan ego diri menghargai kesungguhan mereka, sekurang-kurangnya menyalurkan bakat dan minat dalam sastera melalui dunia siber. Mereka yang terpinggir dari pandangan pengkritik dan sasterawan memberikan sumbangan besar terhadap perkembangan sastera dalam dunia siber ini, di sebalik hinggar-binggar dunia sastera konvesional, tetapi terkial-kial menempatkan diri dalam dunia tanpa batasan ini.
Sudah tentulah dengan kebebasan yang dikecapi ini, saringan, tapisan atau editan golongan editor sudah tidak berguna lagi. Malah, adalah terlalu aneh bunyinya apabila ada saranan supaya segolongan tertentu berperanan sebagai editor terhadap karya yang bertebaran dalam dunia siber ini. Adakah ia bermakna sesiapa yang mahu menyiarkan karya mereka melalui laman web atau e-groups perlu mendapatkan restu dari gergasi sastera itu? Saya harap pandangan ini tidak dibiarkan berleluasa, bimbang bakal ditertawakan dunia pula nanti.
Kelab Maya Sastera Malaysia [KMSM] pula ditubuhkan gabungan antara penulis profesional dengan khalayak amatur serta peminat sastera. Sebagaimana wujudnya sasterawan dan penulis ternama seperti Fudzail, Faisal Tehrani, Zaharah Nawawi dan Ramli Abdul Rahim [sekadar menyebut beberapa nama], wujud juga penulis amatur dan peminat sastera yang dahagakan sastera di dunia siber.
Jangan sebut tentang karya tangkap muat, tanpa mutu atau bersifat sampah, sekiranya dalam masa yang sama tiada karya yang bermutu tinggi diketengahkan dalam dunia siber. Luangan kosong mesti diisi, dan mereka ini cuba memenuhkan rongga kosong dengan kesungguhan dan sedikit bakat yang ada.
Begitu juga, dunia siber juga melahirkan seni sastera yang baru, iaitu, jurnal online. Berbeza dengan jurnal atau diari konvesional, jurnal online ini dihasilkan dan dipaparkan secara terbuka sehingga sesiapa sahaja boleh membaca atau download jurnal tersebut. Tidak mustahilkah jurnal online ini akan berkembang sebagai seni sastera yang diterokai manusia yang tidak bergelar sasterawan atau karyawan?
Cuba rujuk
www.jurnal.dot.nu yang menjadi penghubung antara khalayak penulis jurnal ini, dan anda akan menemui keanehan dunia sastera yang tersembunyi [tetapi semakin terselak]. Terima kasih kepada majalah Jelita kerana mendedahkan cabang sastera yang tersembunyi ini. Sehingga kini seramai 145 individu yang berdaftar sebagai Geng Jurnal, bertebaran di seluruh Malaysia, malah melangkaui sempadan negara dari negara yang paling barat [Amerika Syarikat] hingga yang paling timur [Jepun].
Sekali lagi, abaikan kesalahan tatabahasa atau pun penggunaan slanga dan bahasa basahan ini, kerana mereka sedang merancakkan dunia sastera siber di sebalik kebekuan dan kekeluan gergasi sastera dalam dunia tanpa penguasaan total ini. Lagi pun bukankah sifat jurnal itu mesti lahir dari hati, tanpa dikengkangi faktor bahasa?
Cubalah gunakan enjin pencarian untuk menilai siapa yang banyak merancakkan dunia sastera dalam siber, antara golongan sasterawan dan penulis profesional ini atau khalayak amatur ini?
Mujurlah, dalam kekeluan gergasi sastera, Berita Harian yang kemudiannya diikuti Utusan Malaysia menyiarkan karya dan artikel sastera dalam edisi online. Itu pun, kerap-kali juga tidak diup-date, atau berlaku kesilapan kecil tetapi besar maknanya, seperti mencicirkan nama penulis daripada karya atau artikel yang disiarkan.
Minta maaf kalau saya katakan, seperti tiada maklumat dan ilmu baru saya peroleh apabila menziarahi laman web DBP. Kalaulah laman tersebut diterjemahkan dalam bentuk stor penyimpanan fail, sudah tentu bersawang dengan sarang labah-labah. Sindiran Fudzail terhadap perkara itu saya kira tiada seorang pun yang mengambil endah.
Bagaimana pula dengan persatuan-persatuan penulis yang bertebaran di tanah air? Adakah perebutan kepemimpinan itu lebih bermakna daripada menggerakkan sastera dalam dunia siber ini? Cubalah selidiki berapa buah persatuan yang mempunyai laman web sendiri, dan berapa pula yang sentiasa up-date laman mereka.
Sudah tentulah, adalah terlalu jauh untuk kita gapai kemajuan sastera dunia Barat dalam siber, sehingga sekarang ini wujud pula penerbit maya yang bersedia menerbitkan novel dalam bentuk non-konvesional. Namun, sekiranya gergasi-gergasi sastera ini masih berada dalam kekeluan dan kebekuan, dalam masa yang sama tidak memandang usaha khalayak yang lain merancakkan dunia sastera dengan cara yang tersendiri, maka selagi itu, luahan Lee Keok Chih akan tergumpal dalam keluhan semata-mata.
KMSM, Melayu.com dan jurnal online ini akan bergerak sendirian, serta memunggah pengikutnya sedikit demi sedikit, tetapi bagaimana sastera yang diperjuangkan gergasi-gergasi berkenaan? Mereka ini yang dituduh menghasilkan karya yang kurang berjiwa lebih pandai memanfaatkan ruang siber.
Apa guna sastera, kalau hanya terkandung dalam timbunan kertas kerja atau majalah. Bukankah sastera itu wadah ampuh menghantar idea dan pemikiran ketamadunan, dari manusia kepada manusia? Apa nilai sastera sekiranya ia datang dari manusia, tetapi terbelenggu dalam sikap jumud terhadap perubahan teknologi maklumat!
Aduhai, sampai bila kita mahu terlena?