CRB 032: Sailor Moon

Posted by on Monday, February 27th, 2012. Filed under category Uncategorized.

032-original

Sailor Moon mungkin adalah salah satu pelopor kekuasaan budak-budak perempuan Jepun dalam budaya popular masa kini. Uniform Sera Fuku yang sangat popular ini berjaya menjual budaya Jepun ke seluruh dunia, baik dalam bentuk kartun, cosplay hinggalah ke hentai dewasa. Pergh CRB kali ini membuka peluang kepada artis-artis tanahair untuk mereka semula watak ikonik dari Jepun ini.

Sayembara ini telah berlangsung dari 15 Mac hingga 22 Mac 2008.

Pemenang Utama: Teknologi Bulan oleh silentgecko

032-winner-silentgecko

Semua elemen-elemen rekabentuk Sailor Moon asal “dibesikan” tanpa teragak-agak oleh silentgecko, dari rambut, skirt sampailah ke riben belakang. Olahan ini dikuatkan lagi dengan palet yang kontras tetapi dibekukan dengan permainan cahaya suram. Sumber cahaya dari belakang biasanya kurang menarik dalam pos-pos heroik, tetapi dalam kes ini, silentgecko berjaya menampilkan cool factor yang baik dengan mengharmonikan pencahayaan tersebut dengan teknik dakwat berat. Tanpa ragu-ragu lagi ia menjadi karya yang paling menarik dalam CRB kali ini.

Pilihan Editor: Untitled oleh sureya dan VirusAC-74

032-sureya virusac

Mengasyikkan! Itu saja yang terpacul difikiran apabila mengamati karya tidak bertajuk nukilan sureya dan VirusAC-74 ini. Setiap inci karya ini menjiwai semangat Sailor Moon hingga mampu membuat audiens percaya bahawa karya ini memang sebenarnya sebahagian dari alam Salor Moon yang sebenar. Mereka berdua telah memberikan tahap ketelitian yang tinggi – lihat saja pada riben merah yang translusen, bayang-bayang rambut yang jatuh sehelai demi sehelai, hinggalah kepada pantulan dan sinar cahaya yang begitu memukau! Semestinya antara karya terbaik di Pergh CRB!

Pilihan Editor: Kuasa Bulan… oleh riznam

032-riznam

Karya riznam ini terpilih kerana elemen politikal yang cuba diketengahkannya. Mungkin ada yang berpendapat politik dan seni tidak patut dicampur-aduk. Tetapi permainan isu “bulan” dengan Sailor Moon adalah satu simbolisme yang kreatif dan perlu dikongsi ramai. Cuma riznam mungkin patut beri lebih perhatian kepada garisan-garisan yang kelihatan kasar akibat anti-aliasing yang kurang baik.

Pilihan Editor: I’m Popeye the Sailormoon! oleh bohrtaag

032-bohrtaag

Lepas berseronok-seronok dengan isu bulan yang politikal, Bohrtaag pula menjemput kita bercanda dengan komedi pula. Ramai yang pasti muntah darah (bukan berdarah hidung!) melihat karyanya ini. Fesyen yang dikenakan oleh Popeye ini bakal menggoda para pedofil agar menonjolkan diri. Cuma kita musykil kat mana dia nak simpan tin spinachnya…

Pilihan Editor: Sailormoony oleh bickbong

032-bickbong

Simple, harmoni dan menggiurkan. Karya bickbong ini tidak menampilkan kulit yang banyak, tetapi keseksian Sailor Moon tetap terserlah. Wajah Sailor Moon digarap lembut, sangat harmoni dengan pose yang bersahaja dan tenang. Palet warna yang digunakan juga dikawal dengan sekata. Mungkin satu komen yang dapat diketengahkan ialah kewujudan bintang di depan bulan pada latar belakangnya. Macam mana tu, bang?

Pilihan Editor: Memoirs of GeishaMoon oleh TakoyakiChan

032-takoyakichan

TakoyakiChan mencuba pendekatan yang berbeza dengan persembahan monokromatik. Sailor Moon pula berhias dalam evening gown yang kelihatan klasik dan lustrous. Tambahan pula dengan pose yang malu-malu menggoda, jelingan manja dan dipasangkan dengan senyuman halus yang manis, TakoyakiChan telah berjaya mengajak audiens berimaginasi dengan kemungkinan yang lebih jauh.

Pilihan Editor: Moon Warfare oleh Stella5 dan Bajak

032-stella bajak

Karya Stella5 dan Bajak ini membayangkan Sailor Moon dalam peperangan kontemporari. Elemen-elemen magik yang sinonim dengan Sailor Moon digantikan dengan mesingan, boot kombat, kamoflaj dan kelengkapan perang yang lain. Namun mereka tidak cuba membuatkannya terlalu serius apabila mengekalkan elemen-elemen kawaii dalam reka rupa dan hasil akhirnya.

41 penyertaan keseluruhan: riznam (2), crayon (3), mantoto, WAVERIDER (2), narami_san, oddy (2), raz7, orangdiam2 (2), Stella5, TakoyakiChan (2), Bajak, c u r d, katon_aqhari (2), silentgecko, bohrtaag, qaiser13, hamzi, Skynet, bickbong, shiori_LA, sureya, VirusAC-74, Invictus (2), Xilence Swordswind (2), stingray_flyz, pijun, devil_mumu (2), rabun, riezal83 dan jack oreo.

Untuk melihat semua penyertaan: Topik Undian 032 Kumpulan 1, Topik Undian 032 Kumpulan 2, Topik Undian 032 Kumpulan 3.





  • Categories

    • No categories
  • Tags

  • Statistics

  • Archives