CRB 024: Tygra (Thundercats)

Posted by on Tuesday, February 21st, 2012. Filed under category Pergh CRB. Tags: , , , ,

024-original

Thunder! Thunder! Thunder! Thundercats HOOOOO!!! Siapa di sini yang tak pernah disentuh oleh dunia fantasi Thundercats suatu ketika dahulu? Mungkin budak-budak zaman Naruto dan Pikachu lah kot. Tapi ramai ahli-ahli perghdotcom yang amat mengenali watak-watak kartun ini. Pada kali ini, Tygra telah dipilih kerana keunikannya, kebolehannya berteleportasi serta cemeti ekor pari yang menjadi senjata utamanya.

Sayembara ini telah berlangsung dari 19 Januari hingga 26 Januari 2008.

Pemenang Utama: Tygrider oleh Rosh

024-winner-rosh

Tiada kata yang dapat menggambarkan betapa kejamnya Rosh dalam membelasah peserta-peserta lain dengan karyanya ini! Ketelitiannya amat halus, ditambah lagi dengan pencahayaan yang realistik. Ini ditambah lagi dengan pemahaman Rosh tentang ciri-ciri visual material tersebut, yang mana kita boleh kenali samada sesuatu material itu besi, getah, plastik atau polikarbon. Syabas Rosh!

Pilihan Editor: Harimau Berantai Malaya oleh hamzi

024-hamzi

Ada sesuatu di dalam karya terbitan hamzi ini yang mengingatkan kita kepada hero komik purba China. Mungkin gaya rupa yang menyamai hasil karya Tony Wong, atau pakaian yang digunakan, atau mungkin senjata yang diolah dari cemeti ekor pari, atau mungkin kombinasi semua itu. Apa pun, kombinasi ini amat harmoni antara satu sama lain, dikawal dengan baik dengan menggunakan warna-warna diffuse yang semakin menjadi identiti hamzi.

Pilihan Editor: Tygerra oleh Ajinda

024-ajinda

Aduh comel! Sekali imbas macam Hobbs (dari Calvin and Hobbs), dua kali imbas macam Tigger (dari Winnie the Pooh). Ajinda menggunakan bayang hitam untuk mendominasi bahagian-bahagian yang tidak perlu ditelitikan, dan teknik itu berjaya menonjolkan ketelitian yang diberikan di bahagian-bahagian penting pada watak rekaannya ini. Ekpresi Tygra ini bagaikan cuba menceritakan sesuatu, tetapi Ajinda kedekut untuk berkongsi latar belakang. Nampaknya menekalah kita kali ini.

Pilihan Editor: Tygra is Sweeny Todd oleh oddy

024-oddy

Sekali lagi kombinasi mono-merah oddy menarik perhatian. Ditambah lagi dengan adaptasi Tygra memegang watak Sweeny Todd the Demon Barber from Fleet Street, warna merah itu membawa maksud yang lebih mendalam. Untung sekali oddy tidak rasa terbawa-bawa untuk mewarnakan Tygra yang sememangnya dominan dengan warna itu, kerana ia hanya akan menenggelamkan efek yang cuba dicapai. Sekiranya lebih tumpuan diberikan kepada ketelitiannya, sudah pasti karya ini akan menjadi lebih baik lagi.

Pilihan Editor: Tygra bertukar menjadi Popiaman! oleh azharmaa

024-azharmaa

Dengan bersahaja azharmaa menongkah arus perdana dengan menampilkan watak Tygra rekabentuknya yang dipersembahkan di dalam konteks komik. Dengan teknik ini, azharmaa boleh menyampaikan cerita yang lebih panjang dan mendalam di dalam beberapa panel berbanding dengan hanya satu pose. Mungkin ini satu teknik yang boleh digunapakai oleh peserta-peserta lain di masa akan datang?

Pilihan Editor: I can has Cheezburger? oleh bohrtaag

024-bohrtaag

Sebelum anda cuba membetulkan tatabahasa bohrtaag, luangkan masa untuk menggoogle ayat tersebut. Bohrtaag menggambarkan Tygra yang sedang lahap membaham cheeseburger diwaktu santai. Lihat fokus yang berat ke sebelah kiri. Ayat tajuk yang “salah” itu berjaya menyeimbangkan karya tersebut, walaupun pada dasarnya kawasan putih itu agak negatif.

Pilihan Editor: Kucing Petir oleh invictus

024-invictus

Bayang hitam yang mendominasi keseluruhan karya ini membolehkan invictus menimbulkan silhoutte Tygra dengan menekankan pada hanya beberapa bahagian yang terperinci. Ini menjadikan pose yang diberikan lebih impak, bagaikan harimau yang sedia menerkam! Perhatikan juga bagaimana bayang hitam di latar belakang mengikut liuk badan Tygra, mengukuhkan lagi efek yang cuba dicapai.

48 penyertaan keseluruhan: azharmaa (2), Katon_Aqhari (4), Nusantarian, kimBall (2), Hami_drfrix (4), 3belas, deGenG, BatmanBegins, HKM (2), Ajinda (2), oddy (2), Alifstyle, t a n g h, Jack Oreo (2), Yanjymz, Riezal83, Buzz, Tarakucha, hamzi, Rabun, Irkusydamha, Rosh, Mikestation, ICeSoul, Skynet, Invictus, Prem_Chopra (3), WAVE RIDER (3), Bomb_Piah (2), Babat:ism dan bohrtaag.

Untuk melihat semua penyertaan: Topic Penyertaan 024





  • Categories

  • Tags

  • Statistics

  • Archives